Istiqamah dalam menuntut dan mengajar ilmu Sabran Asmawi

Sejarah pengajian ilmu agama Allahyarham TG tidak terus berhenti di situ sahaja. Disamping mengajar di kampong halaman tempat kelahiran, Allahyarham TG masih istiqamah kerana rasa cinta dan sentiasa berminat untuk menambah dan meningkatkan pengetahuan ilmu agama, Allahyarham TG menuntut serta berguru pula dengan Allahyarham Tuan Guru Muhammad Saman Bin Muhammad seorang guru yang mursyid berpusat di Madrasah Islahiah as-Sammaniyah (مدرسة الإصلاحية السمانية) Batu 4½ Kampong Pasir, Taiping Negeri Perak iaitu tempat kediaman tetap gurunya itu sejak dari tahun 1975M.

Allahyarham TG menjadi anak murid yang sangat setia mengikuti pengajian dan kuliah mingguan yang diadakan pada setiap pagi hari minggu (Ahad). Manakala hampir setiap bulan pada malam Jumaat pula mengikuti pengajian amali yang dikenali dengan "Tawajjoh" (Arab:ﺗﻭﺟﻪ) serta "Suluk" terutamanya dalam bidang ilmu tasawuf dan perjalanan ahli sufi Sufisme Tareqat (Arab:طريقة) sehinggalah ke akhir hayat gurunya itu pada tahun 1995M. Terdapat dua tempat yang menjadi pusat latihan kerohanian ini iaitu di Madarasah gurunya dan sesekali akan ke Sekolah pondok YBhg. Dato' Tuan Guru Haji Abdul Latif Abdul Rahman atau "Pak Teh Kroh" di Keroh, Grik, Perak.

Setelah gurunya meninggal dunia, Allahyarham TG secara adat dan lazimnya, telah dipilih untuk mengambil alih tempat gurunya. Ini berdasarkan taraf kekananan Allahyarham TG, lokasi rumah kediaman yang berdekatan, juga pengalaman yang begitu luas dalam uslub dakwah serta amalan tareqat bagi menyambung tugas-tugas belum selesai yang telah ditinggalkan oleh gurunya. Kesinambungan bermula dengan menyampaikan kuliah pengajian malam Jumaat dan pengajaran khususnya ilmu tasawuf berdasarkan kitab-kitab seperti Hikam (الحكم ابن عطاء الله السكندري) dan lain-lain di Madrasah gurunya itu.

Sebagaimana istiqamahnya dalam menuntut ilmu, begitu jugalah dalam pengajaran ilmu tersebut kepada ahli keluarga dan masyarakat Islam. Jadual mengajar bermula pada setiap pagi sesudah solat Subuh di Surau di Surau al-Ansar kecuali hari Jumaat kerana kuliah mingguan hari Jumaat akan mengambil tempat pada pukul 9:00 pagi. Sebelah petang dan malam juga mempunyai Jadual yang penuh kecuali malam Jumaat yang dikhususkan untuk majlis bacaan surah Yassin dan tahlil.

Di kala usia Allahyarham TG masih muda, rutin harian lebih banyak keluar mengajar ke kampong, pendalaman-pendalaman yang mana nama-nama tempat ini biasanya dipangkalnya diletakkan dengan nama “Tebuk” atau “Parit” dan “Sungai” seperti “Tebuk” Haji Ali atau “Parit” Haji Ismail dan “Sungai” Bogak. Tidak ketinggalan juga ke kawasan pekan dan kadang-kadang keluar daerah. Di pertengahan tahun 1970an, apabila tiba waktu untuk mengajar di kawasan-kawasan pendalaman ini; pada waktu itu, keadaan infrastruktur masih mundur, tiada jalanraya berturap seperti sekarang ini, kebiasaanya Allahyarham TG akan di jemput di rumah dengan motosikal kerana kenderaan lain tidak boleh sampai kerana terlalu jauh ke pendalaman. Tiada pilihan lain yang lebih selesa selain dari motosikal. Jika tempat yang boleh sampai dengan berkereta, Allahyarham TG akan memandu sendiri dengan ditemani oleh sahabat-sahabat karib atau anak-anak.

Di waktu siang hari, banyak masa ditumpukan di pejabat sekolah semasa menjadi Mudir SAR ar-Ridwaniah dan juga urusan-urusan lain. Keadaan bertambah-tambah sibuk apabila terpilih menjadi wakil rakyat di antara tahun 1999 hingga 2004.

Tetapi setelah usia menjangkau 60an aktiviti mengajar lebih tertumpu di Surau al-Ansar, Alor Pongsu sahaja. Kecuali memenuhi jemputan-jemputan khusus seperti majlis Ijtima’ Ilmu [3] di Madrasah Padang Lalang, Bukit Mertajam yang diadakan secara berkala quaterly atau pun mengadakan Kuliah bulanan dalam majlis tawajjoh di Madrasah gurunya di Kamunting, Taiping.

Itu adalah rutin harian Allahyarham TG sejak dari usia muda 30an. Hatta sehinggalah ke saat untuk pergi menunaikan fardhu Haji kali terakhir pun Allahyarham TG masih tetap berkuliah pada pagi subuh tersebut. Pendekata walau dalam keadaan apa sekali pun Allahyarham TG tetap konsistan untuk mencurahkan ilmu pengetahuan tanpa ada sedikit pun rasa jemu. Di situlah keringatnya banyak tertumpah dan kegigihannya dipamirkan. Disebabkan oleh minat yang mendalam dan atas rasa kesedaran menyampaikan ilmu serta tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang pendakwah. Untuk mengajar tentu perlukan sedikit masa untuk mentela’ah apa yang akan di sampaikan. Masa 24jam yang ada digunakan sepenuhnya. Kebiasaanya mengurangkan waktu tidur adalah kaedah yang paling efektif untuk memanafaatkan masa yang ada.

Walau sesibuk mana sekalipun, Allahyarham TG masih tetap ada masa terluang dengan keluarga terutamanya ketika waktu makan. Duduk makan bersama isteri dan anak-anak adalah suatu yang amat diberi perhatian kerana di kala inilah banyak kata-kata nasihat akan di sampaikan. Peluang itu ditunggu-tunggu oleh anak-anak dan digunakan dengan sebaik mungkin oleh Allahyarham TG untuk mendidik secara lisan dan praktikal. Kata-kata berikut sering diucapkan:

"...Sebaik-baik makanan adalah yang disentuh oleh ramai orang..."

Sesekali anak-anak akan diajar untuk makan di dalam talam, berlauk ikan masin dan hanya berkuahkan air masak. Ia dilakukan semata-mata bagi menerapkan erti kepayahan dan kesusahan dalam kehidupan. Kaedah didikan sebeginilah yang difikirkan amat berkesan dalam mendidik sakhsiah dan keperibadian anak-anak.

Rujukan

WikiPedia: Sabran Asmawi http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?n... http://www.mail-archive.com/harakahdaily@yahoogrou... http://www.ijn.com.my http://www.karyanet.com.my/knet/ebook/preview/p_Ma... http://www.pilihanraya.com.my http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://mufti.penang.gov.my/ahlijawatankuasa.htm